Sejarah

Upacara Pecah Tanah Akademi Badminton Malaysia (BAM)

23 April 1991 – Upacara pecah tanah Akademi Badminton Malaysia (BAM) telah dirasmikan oleh Isteri Perdana Menteri, Dato’ Sri Datin Paduka Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan meletakkan batu asas Akademi Badminton Malaysia di Taman Maluri, Cheras pada tahun 1991. Dr. Siti Hasmah bukan sekadar menjadi peminat dan penyokong setia kepada pasukan badminton malahan beliau juga mengetuai Pasukan Badminton Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

Dalam perasmian tersebut beliau telah diringi oleh Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar. Dengan diiringi oleh Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar dan pengerusi MBF, Tunku Abdullah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman masuk ke kawasan pembinaan akademi dengan disambut meriah oleh skuad badminton negara yang menjulang raket masing-masing sebagai tanda penghormatan.

Diharap dengan adanya Akademi BAM akan dapat meningkatkan lagi mutu sukan badminton di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
misbun-800px
Sejarah

Misbun Pemain Badminton Bertaraf Profesional Yang Pertama Dari Asia Tenggara

7 Oktober 1983 – Pada tahun 1983, Mohamed Misbun bin Sidek mencatat sejarah menjadi pemain badminton bertaraf profesional yang pertama dari Asia Tenggara apabila memeterai kontrak selama tiga tahun dengan ‘International Management Group’ (IMG) di Kuala Lumpur.

Misbun merupakan pemain badminton negara pertama mencapai taraf antarabangsa ketika berusia 24 tahun dan pemilihan adalah berdasarkan kebolehan beliau dan keinginan untuk menjadi pemain badminton utama di dunia.

misbun

Perjanjian dibuat dengan Pengurus IMG, Roddy Carr, disaksikan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia Encik Mohd Khir Johari. Mula menyinar apabila muncul sebagai johan perseorangan badminton daerah Banting pada tahun 1976. Pada tahun 1976 sehingga 1979, Misbun menjuarai perseorangan Lelaki Bawah Umur 18 tahun Kebangsaan dan dipilih menyertai skuad Piala Thomas serta menyertai Kejohanan All England.

Pada tahun 1981 beliau berjaya menjuarai Perseorangan Terbuka Jerman, Juara perseorangan Kebangsaan Malaysia, memperolehi Pingat Emas Perseorangan Sukan SEA dan di pilih Olahragawan Kebangsaan. Pada tahun-tahun berikutnya, diantara kejayaan beliau ialah menjuarai Perseorangan Terbuka Sweden, Kanada, juara perseorangan Kebangsaan, Naib Juara perseorangan Piala Dunia, menjuarai perseorangan Piala Konica dan Terbuka Chinese Taipei.

Pada tahun 1990, beliau dilantik menjadi jurulatih negara dan berjaya mendidik pemain-pemain pelapis sehingga menjadi pemain yang digeruni lawan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Lee-KuanYew-Tunku-Abdul-Rahman-800px
Sejarah

Keputusan Menerima Percantuman Singapura Dan Persekutuan Tanah Melayu Oleh Rakyat Singapura

02 September 1962 – Keputusan Menerima Percantuman Singapura Dan Persekutuan Tanah Melayu Oleh Rakyat Singapura pada tahun 1962. Kerajaan Singapura menerima keputusan undi terbanyak dari rakyat yang bersetuju Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu dicantumkan.

Pungutan suara ini dibuat berikutan dengan cadangan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra untuk mengadakan persefahaman antara Britain dan rakyat di Wilayah Singapura, Sabah, Brunei dan Sarawak, pada Mei 1961. Cadangan yang dikemukakan oleh Tunku ini dikenali sebagai rancangan penubuhan Malaysia.

Sehubungan dengan ini beberapa persetujuan telah dicapai daripada perundingan-perundingan percantuman yang diadakan, tetapi sebelum keputusan muktamad dibuat pendapat rakyat hendaklah diperolehi. Keputusan pungutan suara yang diumumkan pada jam 11.15 di Dewan Badminton Singapura ini jelas membuktikan penerimaan rakyat Singapura terhadap rancangan percantuman Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Ia juga bermakna Singapura memperolehi kemenangan cemerlang mengalahkan kaum komunis dan penyokongnya yang menyeru rakyat memberi undi kosong kepada cadangan tersebut.

Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew menyifatkan keputusan ini sebagai ‘jelas dan muktamad’ daripada rakyat yang menghendaki percantuman dalam Malaysia. Kaum komunis dan penyokongnya hendaklah menerima kemahuan rakyat melalui undi yang bebas dan demokratik ini secara terbuka walaupun kepada mereka ianya merupakan satu hakikat yang berat untuk diterima. Encik Lee Kuan Yew juga menyatakan bahawa kerajaan telah berusaha sedapatnya untuk menjamin kedudukan rakyat Singapura dan merasa sukacita bahawa sebahagian besar rakyat Singapura menyokong usaha tersebut.

Dalam pungutan suara ini undi yang menyokong usul percantuman kerajaan ialah 71% berbanding 23% undi kosong. Keputusan ini akan dihantar kepada Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu yang dianggotai oleh 17 negara. Setelah berbagai usaha diadakan Malaysia yang dianggotai oleh Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak diisytiharkan kewujudannya pada 16 September 1963.

Malangnya, setelah melalui berbagai rintangan dalam sebuah kerajaan dan pemerintahan, Singapura kemudiannya keluar dari Persekutuan Malaysia di pertengahan tahun 1965 akibat tindak tanduk beberapa orang pemimpin Singapura yang meletakkan perhubungan kedua negara dalam keadaan tegang dan genting.

Sessungguhnya pemberiaan hak rakyat untuk menentukan kerajaan dan pemerintah yang mereka pilih akan menjadi tidak bermakna andaikata sesetengah pemimpinnya bersikap tidak jujur di atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard