malayan_airways_logo-800px
Sejarah

Perkhidmatan Malayan Airways Dimulakan

01 Mei 1947 – Pada tahun 1947, Malayan Airways Limited (MAL) telah memulakan perkhidmatan berjadualnya yang pertama, selepas didaftarkan dalam tahun 1937. Perkhidmatan sulung ini meliputi laluan tiga kali seminggu di antara Singapura-Kuala Lumpur-Ipoh-Pulau Pinang dengan menggunakan pesawat Airspeed Consul dengan pendaftaran VR-SCD ’Raja Udang’.

Dalam tempoh dua bulan berikutnya MAL telah berjaya menguasai perkhidmatan penerbangan di Tanah Melayu. MAL merupakan satu-satunya syarikat yang diberi kelulusan bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara pada ketika itu.

Pada tahun 1949, MAL telah meluaskan perkhidmatan penerbangannya ke Bangkok, Jesselton, Kuching dan Rangoon. Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, MAL telah ditukar kepada Malaysian Airways. Pada tahun 1967, Syarikat ini sekali lagi bertukar nama kepada Malaysia-Singapore Airline (MSA).

Namun begitu, perpisahan Singapura dari Malaysia telah membawa kepada pemisahan MSA dan penubuhan syarikat penerbangan berasingan bagi Malaysia dan Singapura. Nama MAL kemudiannya digantikan dengan Sistem Penerbangan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MAS (Malaysia Airline System) pada 30 November 1971.

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman pada 30 September 1972, bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Subang, Selangor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard