Commonwealth_Flag-800px
Sejarah

Malaysia Menarik Diri Dari Kumpulan 8 Negara Komanwel

05 Mac 1971– Pada tahun 1971, Malaysia telah menarik diri dari menjadi anggota Badan Pengkaji Kumpulan 8 Negara Komanwel. Pengumuman ini dibuat oleh Kementerian Luar Negeri sebagai bantahan terhadap pengumuman Britain hendak membekalkan helikopter jenis Wasp kepada negara Afrika Selatan tanpa menunggu laporan dari kumpulan negara yang membuat kajian.

Kumpulan Badan Pengkaji tersebut dibentuk oleh negara-negara Komanwel di Singapura pada bulan Januari 1971 untuk mengkaji masalah penjualan senjata Britain kepada Afrika Selatan.

Westland Wasp HAS.1

Westland Wasp HAS.1

Malaysia telah pun menjelaskan sikapnya bahawa sebarang keputusan Britain untuk menjual senjatanya kepada Afrika Selatan sebelum kumpulan itu selesai menjalankan tugasnya akan menjejaskan kerja-kerja kumpulan itu.

Malaysia merupakan negara ketiga dari lapan buah negara anggota kumpulan yang menarik diri berikutan keputusan Britain itu. Manakala dua buah negara terdahulu ialah Nigeria dan India.

Dengan penarikan Malaysia dari menjadi anggota kumpulan lapan Negara Komanwel pada hari ini dalam tahun 1971 hanya tinggal lagi lima buah negara yang mengekalkan keanggotaannya iaitu Australia, Britain, Kenya, Kanada dan Jamaica.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Commonwealth_Flag-800px
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Sertai Persidangan Perdana Menteri Komanwel Kali Pertama

03 Mei 1960 – Pada tahun 1960 Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menyertai Persidangan Perdana Menteri-Perdana Menteri Komanwel buat pertama kalinya selepas mencapai negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.

Persidangan yang berlangsung di London dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara Britain, Canada, Afrika Selatan, India, Pakistan, Ceylon, Ghana, Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Rhodesia Nyasaland.

commonwealth logo

Perwakilan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Perdana Menteri Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan termasuk Encik Ghazali bin Shafie Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri, Tengku Yaakub Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di United Kingdom dan Tengku Jaafar Penasihat di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di London.

Persidangan berlangsung selama 10 hari dan dirasmi oleh Perdana Menteri British Tuan Harold McMillon. Perbincangan utama dalam persidangan ini tertumpu kepada soal-soal keamanan dunia seperti soal perhubungan antara blok komunis dengan dunia bebas, masalah hubungan timur barat, soal perlucutan senjata, pengharaman ujian-ujian senjata Nuklear dan soal dasar apartheid di Afrika Selatan.

Sesungguhnya disekitar awal tahun 1960-an Persekutuan Tanah Melayu mempunyai hubungan yang rapat dan kukuh dengan Pertubuhan Komanwel terutamanya dalam soal keselamatan Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard