H.I.D.S – Serangan Ke Atas Kubu British Di Kanowit, Sarawak

Sir_James_Brooke_1847_by_Francis_Grant
James Brooke

25 Jun 1859 – Pada hari ini dalam tahun 1859, serangan penduduk peribumi terhadap Kubu British di Kanowit, Sarawak telah diketuai oleh Sawing dan Sakalai. Dalam serangan itu, mereka telah berjaya membunuh dua orang pegawai British iaitu Charles Fox dan Henry Steele.

Serangan itu merupakan penentangan penduduk-penduduk tempatan terhadap dasar perjanjian James Brooke yang menyekat hak dan kuasa pemimpin-pemimpin tempatan terutama dalam pengutipan cukai. Malah dasar pemerintahan James Brooke cuba menghalang adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh penduduk tempatan.

James Brooke telah membina kubu di Kanowit dalam tahun 1851 atau lebih dikenali sebagai Kubu Emma. Tujuannya adalah untuk menyekat pergerakan penduduk tempatan di persisiran pantai yang berhampiran dengan kawasan yang kaya dengan sagu. Dengan keadaan pentadbiran yang lemah dan kucar-kacir, serangan yang diketuai oleh  Sawing dan Sakalai itu telah berjaya menawan kubu tersebut.

Ekoran daripada serangan tersebut, pihak British telah menyerang balas ke atas Kubu yang telah ditawan itu. Serangan balas itu, dianggap penting bagi mengukuhkan pentadbiran Brooke di Sarawak. Ia dijadikan alasan untuk meluaskan lagi penjajahannya di Sungai Rejang, Pantai Mukah dan Oya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen