H.I.D.S – Sabah Menjadi Tanah Jajahan British

Edward Twining Governor
Edward Twining

26 Jun 1946 – Pada hari ini 26.6.1946, satu perjanjian telah ditandatangani antara Kerajaan British dan Kompeni Berpiagam Borneo Utara (KBBU). Mengikut perjanjian itu, Borneo Utara akan dirasmikan sebagai tanah jajahan British pada 15 Julai 1946.

Sabah atau Borneo Utara mula ditadbir oleh Kompeni Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1881. Pemerintahan itu berterusan sehingga berakhirnya Perang Dunia Kedua (1946) dan kesan pendudukan Jepun di Sabah telah menyebabkan keadaan ekonominya bertambah teruk. Susulan daripada itu, Kompeni Berpiagam (KBBU) tidak mempunyai sumber kewangan untuk memulihkan keadaan ekonomi Sabah dan menjalankan kerja-kerja pembangunan semula.

Oleh yang demikian, Kompeni Berpiagam mengambil keputusan untuk menyerahkan Sabah kepada Kerajaan British. Penyerahan Sabah, sebagai sebuah Tanah Jajahan, bermakna pentadbiran negeri akan ditadbir oleh seorang Gabenor yang bertindak sebagai Ketua Kerajaan. Gabenor Sabah yang pertama ialah Sir Edward Twining (Feb. 1947 – 1950). Sesungguhnya perjanjian penyerahan Sabah kepada Kerajaan British pada hari ini dalam tahun 1946, mendapat sambutan yang baik dan tidak mendapat banyak bantahan daripada rakyat tempatan. Dengan itu, Sabah akan terus dijajah oleh kuasa-kuasa asing.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen