francis_light-800px
Sejarah

Presidensi Pulau Pinang Dibubarkan

30 Jun 1830 – Pentadbiran Inggeris di Pulau Pinang yang bertaraf Presidensi telah dibubarkan pada tahun 1830. Pembubaran ini adalah merupakan satu peristiwa bersejarah dalam sistem pentadbiran Inggeris khasnya di Pulau Pinang ekoran dari perkembangan politik dan ekonomi yang merosot.

Semenjak Pulau Pinang di buka dalam tahun 1786, satu sistem pentadbiran bertaraf Residen telah dimulakan oleh Francis Light selaku Residen yang pertama di bawah pengawasan Gabenor Inggeris di Benggala. Dasar-dasar pentadbiran adalah mengikut dasar pentadbiran syarikat perdagangannya dan dibantu oleh beberapa orang kakitangan.

Francis Light

Selepas kematiannya pada tahun 1794, taraf Residen diturunkan kepada taraf Superintendent dan pada tahun 1800 kepada taraf Lieutenant-Governor. Sepanjang tahun 1800 hingga 1805, perkembangan ekonomi dan perdagangan Pulau Pinang bertambah baik dan maju dengan sistem pentadbiran yang lebih teratur. Dengan itu, kerajaan Inggeris yakin Pulau Pinang akan memberi faedah yang besar sesuai dengan tujuan untuk menjadikannya pengkalan tentera laut dan pusat perdagangan Inggeris di timur.

Berikutan dari itu, taraf pentadbiran Pulau Pinang dinaikkan ke taraf Presidensi iaitu setaraf dengan Presidensi Inggeris di India, seperti Benggala, Bombay dan Madras pada tahun 1805. Urusan pentadbirannya adalah di bawah pengawasan terus dari London. Oleh itu, beberapa jawatan baru telah ditambah untuk melicinkan pentadbiran sesuai dengan taraf Presidensi. Presidensi Pulau Pinang bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal dalam dan luar negeri serta menjalankan arahan dari Kerajaan Inggeris di London. Presidensi itu menghadapi berbagai masalah terutamanya kewangan dan undang-undang manakala rancangan perkapalan dan perdagangan gagal kerana tidak sesuai.

Pada tahun 1826, Negeri-Negeri Selat ditubuhkan dan Pulau Pinang telah dijadikan ibu negeri. Hal itu telah membebankan lagi Presidensi Pulau Pinang dan seterusnya kerajaan Inggeris kerana perbelanjaan pentadbirannya terus bertambah melebihi pendapatannya yang kian merosot. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1830, Presidensi Pulau Pinang terpaksa dibubarkan dan taraf pentadbirannya diturunkan kepada Residensi di bawah pengawasan Gabenor Benggala.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard