Pertabalan Raja Ismail Perak

Tahta Kesultanan Perak
Tahta Kesultanan Perak

27 Jun 1871 – Pada hari ini dalam tahun 1871,  Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 26 menggantikan Almarhum Paduka Seri Sultan Ali Al-Mukamal Riayat Shah. Pertabalan Raja Bendahara Ismail  telah menambahkan lagi sengketa perebutan kuasa dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Perak.  

Raja Bendahara Ismail bukanlah waris sebenar pemerintahan negeri Perak tetapi sebaliknya ialah Raja Muda Abdullah.  Oleh kerana kegagalan baginda hadir di upacara pemakaman jenazah Sultan Ali, maka Raja Bendahara Ismail yang hadir di upacara itu telah ditabalkan menjadi Sultan. Peristiwa ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengikut-pengikut Raja Abdullah dan lain-lain pembesar negeri itu.  

Perebutan kuasa antara pembesar-pembesar negeri Perak telah bermula sejak tahun 1865, selepas kemangkatan Sultan Jaafar; dimana akhirnya Sultan Ali telah memaklumkan kepada Gabenor Negeri Selat bahawa dirinya telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Perak dan jajahan takluknya, manakala Raja Abdullah dilantik menjadi Raja Muda dan Raja Ismail terus kekal sebagai Raja Bendahara.  Kesan dari perebutan kuasa ini telah mewujudkan pemerengganan kawasan politik. 

Keadaan ini telah berterusan selepas Raja Ismail menaiki takhta kerajaan.  Raja Muda Abdullah berkuasa di Hilir Perak sehinggalah ke Kuala Perak.  Sultan Ismail di Perak Tengah termasuk Kinta, Raja Yusuf berkuasa di Larut. Perpecahan ini akhirnya memerangkap negeri itu dalam perluasan dasar perjajahan British di Tanah Melayu ketika itu.  Pertabalan Sultan Ismail pada tahun ini sesungguhnya merupakan satu titik tolak kepada berlakunya persengketaan yang hebat dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Perak yang akhirnya membuka peluang kepada Inggeris untuk campurtangan di negeri itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen