H.I.D.S – Peristiwa Jeram Ampai

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

29 Jun 1894 – Pada hari ini dalam tahun 1894 sepasukan Polis kerajaan Inggelis telah menyerang sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang.  Pasukan Polis ini terdiri dari Polis Sikh Perak, Polis Sikh Selangor dan beberapa orang polis Melayu.

Kumpulan ini adalah sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Pahang yang dipimpin oleh Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi. Dalam serangan ini seorang Pegawai Inggeris bernama Wise (Pemangku Penguasa Ulu Pahang) dan empat orang polis Sikh telah terbunuh manakala di pihak penentang-penentang pula dilaporkan 40 orang terbunuh.

Serangan ke atas kumpulan penentang-penentang di Jeram Ampai ini merupakan tindakbalas pihak Inggeris terhadap ancaman terbaru penentang-penentang di mana pada 14hb Jun mereka telah menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis Sikh. Kemudiannya mereka telah berundur ke Jeram Ampai iaitu empat batu dari Kuala Tembeling dan mendirikan benteng-benteng pertahanan.

Pada 18hb Jun, Walter Egerton, Pemangku Residen Pahang dengan sepasukan Polis Sikh telah berkejar ke Kuala Tembeling. Pada 28hb Jun pasukan ini disertai pula oleh pasukan-pasukan Polis Perak, dan Selangor yang diketuai oleh Penolong Penguasa Stewart, Leftenen Kolonel Walter, Kapten Lyons dan Kapten Talbot.

Peristiwa Jeram Ampai ini adalah merupakan salah satu daripada beberapa insiden dalam sejarah penentangan pejuang-pejuang pembebasan Pahang terhadap Inggeris di Pahang. Ekoran daripada peristiwa ini Huge Clifford iaitu Residen British di Pahang telah melancarkan gerakan besaran-besaran memburu mereka hingga ke Negeri Trengganu dan Kelantan.

Gerakan ini dimulakan pada 4hb Julai, 1894 setelah Clifford mengambil alih pemerintahan dari Egerton pada 3hb Julai,1894. Gerakan  yang menelan belanja sebanyak RM 7,393.83 dihentikan pada bulan November 1895 apabila Dato’ Bahaman, Awang Nong, Yusuf, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahit dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada Kerajaan Siam tetapi diberi perlindungan dan ditempatkan di Chieng Mai pada awal 1896; manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan telah meninggal dunia di Trengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen