H.I.D.S – Penubuhan Rangkaian Jalan Keretapi Antara Prai-Singapura

Keretapi Lama29 Jun 1899 – Pada hari ini dalam tahun 1899, Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri-Negeri Selat dan juga Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Lient. Kol. Sir C.B.H Mitchell telah membuka dengan rasminya rangkaian jalan keretapi yang pertama bermula dari Prai ke Bukit Mertajam.

Turut hadir di upacara tersebut ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar, Residen British, Encik Rodger dan Encik J.K Birch serta beberapa orang pegawai. Mereka kemudiannya telah bertolak ke Bukit Mertajam dengan menaiki keretapi.

Pembinaan jalan keretapi ini akan dapat menghubungkan antara Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Rangkaian keretapi seterusnya pula bermula dari Bukit Mertajam ke Port Dickson. Panjang landasan keretapi dari Prai ke Port Dickson ini ialah 507.2 kilometer.

Rangkaian keretapi yang kedua pula bermula dari Port Dickson ke Singapura yang mana mengambil masa perjalanan selama 15 atau 16 jam. Perjalanan keretapi dari Prai ke Singapura dijangka mengambil masa selama 36 jam.

Perkembangan selanjutnya mula berlaku bilamana jalan keretapi yang bermula dari Prai telah disambungkan hingga ke Burma dan Siam.

Pembukaan rangkaian jalan keretapi Prai-Singapura pada hari ini dalam tahun 1899 telah memberikan sumbangan yang besar terutama kepada perkembangan ekonomi di kalangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen