dewan_bahasa-800px
Sejarah

Penubuhan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan di Johor Bahru sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran pada 22 Jun 1956. Tujuan penubuhan adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Di peringkat awal, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bahru. Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 – 21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.

Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.

dewan_bahasa_dan_pustaka

Dewan Bahasa Dan Pustaka

Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Pada 31 Januari 1962, Dewan Bahasa dan Pustaka berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur.

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Standard