H.I.D.S. – Yayasan Pelajaran Mara Dilancarkan

Yayasan Pelajaran MARA31 Oktober 1968 – Pada hari ini dalam tahun 1968, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah dilancarkan dengan rasminya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Usul pembentukan yayasan ini telah diluluskan oleh Kongres Bumiputera kali yang kedua. Tujuan utama yayasan ini ditubuhkan ialah untuk mengumpulkan sumber-sumber kewangan bagi membiayai anak-anak Melayu melanjutkan pelajaran mereka terutama di bidang iktisas.

Pembentukan yayasan ini dibuat di bawah Akta Mara dan seterusnya sebagai sebuah Badan Berkanun yang lain dengan pengurusan tertentu. Kempen-kempen bagi memenuhi matlamat ini telah dilakukan diseluruh negeri. Sumbangan-sumbangan diterima tidak semata-mata dari rakyat tetapi juga dari Kerajaan Negeri.

Matlamat asal yayasan ini ialah mahu mengumpul sejumlah $250,000 dalam tempoh enam bulan, bagaimanapun di hari pelancarannya wang yang terkumpul telah melebihi $500,000. Manakala di dalam daftar pula tidak kurang dari $1.2 juta telah terkumpul.

Masalah kelemahan pelajaran anak-anak Melayu sering diperbincangkan, salah satu sebab keadaan ini ialah kemiskinan orang-orang Melayu sendiri. Kesedaran telah timbul untuk membaiki keadaan ini dengan memberi bantuan kewangan melalui yayasan.

Sesungguhnya dengan pelancaran Yayasan Pelajaran Mara pada hari ini dalam tahun 1968, telah dapat membantu meningkatkan lagi pelajaran anak-anak Melayu di peringkat yang lebih tinggi demi kesejahteraan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen