H. I. D. S. – Yang Di Pertuan Agong Mengisytiharkan Kolej Melayu Kuala Kangsar Sebagai Warisan Bangsa Dan Negara

kolej_melayu_kuala_kangsar26 Mac 2005 – Pada hari ini dalam tahun 2005, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan mengisytihar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebagai Warisan Bangsa dan Negara dalam satu acara penuh adat istiadat Melayu. Pemasyhuran yang dilakukan di hadapan beberapa Raja Melayu dan kerabat diraja adalah bersempena ulang tahun ke-100 MCKK.

Antara Raja-raja Melayu yang hadir ialah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar. Majlis bermula di Istana Iskandariah dengan penyerahan watikah oleh Pemegang Mohor Raja-raja kepada Yang di-Pertuan Agong dan watikah itu diarak dengan tujuh ekor gajah sejauh tiga kilometer ke MCKK.

Perarakan itu turut disertai oleh 100 anggota tentera dan 300 pelajar MCKK. Pemasyhuran itu tepat dengan sejarah dan kegemilangan MCKK yang berjaya mengekalkan kecemerlangannya sebagai gedung ilmu bagi pelajar Melayu sejak penubuhan pada tahun 1905.

Sesungguhnya sepanjang usia penubuhannya, MCKK telah melakar sejarah sebagai sebuah sekolah paling banyak melahirkan cerdik pandai Melayu daripada kalangan pemimpin, pentadbir dan tokoh korporat negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen