H.I.D.S. – Upacara Penyerahan Terengganu Kepada Inggeris

Almarhum Sultan Sir Zainal Abidin III Muazzam Shah
Sultan Sir Zainal Abidin III Muazzam Shah

14 Julai 1909 – Pada hari ini dalam tahun 1909, satu upacara penyerahan negeri Terengganu kepada Inggeris berlangsung di Kuala Terengganu. Upacara ni telah dihadiri oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin ke III, Pembesar-pembesar Negeri, wakil British, W.L. Conlay dan seorang Pesuruhjaya Siam. Upacara penyerahan ini dilakukan oleh Pesuruhjaya Siam dengan disaksikan oleh semua pembesar-pembesar Terengganu.

Penyerahan ini adalah lanjutan dari hasil Perjanjian Bangkok yang ditandatangani diantara Siam dan Inggeris pada 10 Mac 1909 yang lalu. Dalam perjanjian ini kedua belah pihak telah bersetuju bahawa ‘Kerajaan Siam memindahkan segala hak-hak pertuan, naungan, kawalan, pentadbiran dan sebarang kuasa yang dipegang oleh kerajaan Siam terhadap negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pulau-pulau berhampiran kepada Kerajaan British’.

Pihak British yang sememangnya mempunyai niat untuk menguasai negeri-negeri Melayu di Utara dan Pantai Timur telah menjadikan penghantaran ufti bunga mas sebagai alasan bahawa negeri-negeri tersebut berada di bawah pengaruh Siam dan penerimaan pertuanan Siam ke atas mereka. Dengan anggapan ini dan harapan untuk meluaskan jajahan takluknya pihak British telah menggunakan pihak Siam dengan mengadakan perjanjian-perjanjian pada tahun 1902 dan 1909.

Tetapi tanggapan British terhadap pertuanan Siam di Terengganu adalah salah sama sekali.  Sultan Terengganu telah menjelaskan kepada pihak British bahawa bunga mas itu hanyalah semata-mata sebagai tanda persahabatan, bukan tanda menerima pertuanan. Dan ketika Frank Swettenham melawat Sultan untuk memujuk baginda supaya menandatangani dan bersetuju dengan perjanjian 1902, didapati di Terengganu tidak ada seorang Pegawai Siam pun. Dan Sultan sama sekali membantah isi kandungan perjanjian tersebut yang antara lainnya berbunyi, “Negeri Terengganu itu telah diiktiraf sebagai sebuah jajahan takluk Siam”

Apabila berita tentang kandungan Perjanjian 1909 diterima  oleh Sultan Terengganu, maka pada bulan Mei, 1909 baginda Sultan bersama-sama rombongan pembesar-pembesar Terengganu telah berangkat menuju ke Singapura dan bertemu dengan Sir John Anderson, Gabenor Negeri Selat dan menyatakan bantahanya terhadap tindakan Siam yang telah mengadakan perjanjian penyerahan Terengganu kepada Inggeris dalam Perjanjian Inggeris Siam ini. Baginda juga mempersoalkan apakah hak Siam ke atas Terengganu dan menyatakan bahawa penghantaran bunga mas bukanlah sebagai tanda pertuanan Siam keatas Terengganu.

Walau bagaimanapun pada hari ini, pihak Siam dengan rasminya menyerahkan Terengganu kepada Inggeris, tetapi Sultan Zainal Abidin ke III dan pembesar-pembesar Terengganu dengan tegasnya membantah tindakan ini. Lebih-lebih lagi butir-butir penyerahan tersebut adalah di luar pengetahuan mereka sebelum ini. Ini menyebabkan timbulnya perdebatan antara Sultan, pihak Siam dan Inggeris dan Sultan tidak mengakui W.L. Conlay sebagai Penasihat British. W.L. Conlay hanya dianggap sebagai Censular Officer sahaja.

W.L. Conlay tidak diberikan kuasa dan tugas pentadbiran dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Pihak British hanya berjaya mengukuhkan pengaruh sepenuhnya ke atas Terengganu pada bulan Mei 1919 apabila J.L. Humphreye dilantik sebagai penasihat British pertama dengan berbagai helah dan daya usaha.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

One Comment

Tinggalkan Komen