H. I. D. S. – Undang-Undang Mara Dikuatkuasakan

01 Mac 1966 – Pada hari ini dalam tahun 1966, Undang-undang Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah dikuatkuasakan, bagi menggantikan Undang-undang Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan. Undang-undang MARA telah diluluskan oleh Parlimen pada bulan Jun 1965, dan yang mengandungi resolusi-resolusi yang dikemukakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera. Antara lain tugas-tugas MARA ialah seperti yang tercatat dalam seksyen 6 undang-undang tersebut iaitu:-

  • Memajukan, menggalakkan dan menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Persekutuan khususnya kawasan-kawasan luar bandar.
  • Menjalankan segala usaha khususnya pembangunan usaha-usaha perdagangan dan perusahaan serta pemasaran barang-barang keluaran.
  • Menjalankan penyelidikan dan latihan.
  • Memajukan usaha-usaha di atas dengan bantuan modal, memberi pinjaman dan lain-lain.

Dengan tugas-tugas dan kuasa-kuasa MARA seperti yang termaktub dalam undang-undang ini nyatalah bahawa MARA telah diberikan tugas penting untuk mengendalikan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan penduduk-penduduk bumiputera negara ini.

Untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut MARA telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta mempunyai sebuah majlis yang terdiri daripada 14 orang ahli dan seorang Pengerusi. Pengerusi majlis ini adalah juga Pengerusi MARA. Di samping itu sebuah Jawatankuasa Kerja telah dibentuk untuk menjaga hal-hal dasar.

Sesungguhnya penguatkuasaan undang-undang MARA pada hari ini dalam tahun 1966 merupakan era penting bagi kemajuan ekonomi bumiputera khususnya di kawasan luar bandar yang mana MARA telah memain peranan penting dalam bidang ekonomi, latihan kemahiran, serta pendidikan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen