Tun Hussein Onn Meninggal Dunia

29 Mei 1990 – Pada hari ini dalam tahun 1990, Y.A.B. Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketiga telah meninggal dunia di Pusat Rawatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat pada pukul 7.15 pagi waktu Malaysia kerana sakit jantung pada usia 68 tahun. Jenazah Allahyarham Tun Hussein Onn telah diterbangkan semula ke tanah air dan diberi penghormatan pengkebumian negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Tun Hussein Onn, dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru dan merupakan anak sulung kepada pasangan Dato’ Onn Ja’afar dan Datin Halimah Hussein. Allahyarham telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari 1976. Di bawah pimpinan Tun Hussein Onn asas dan kemajuan ekonomi Malaysia yang dijana oleh Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970an juga telah mula menampakkan hasilnya. Dasar Tun Hussein Onn yang berbelanja dengan cermat dan menanamkan sifat suka menabung di kalangan rakyat telah memberi asas yang sangat kuat dalam pembangunan ekonomi negara.

Pada 17 Julai 1981, Tun Hussein Onn secara rasmi telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang atas sebab kesihatan. Sebagai seorang pemimpin negara, Tun Hussein Onn dikenali sebagai ‘Bapa Perpaduan’ bagi mengenang segala jasa dan usahanya dalam memupuk perpaduan di Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen