H. I. D. S. – Tun Abdul Razak Meninggal Dunia

Tun Abdul Razak Family14 Januari 1976 – Pada hari ini dalam tahun 1976, YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein telah kembali ke Rahmatullah di London pada jam 6.30 petang waktu Malaysia. Berita mengenai pemergian Allahyarham telah disampaikan oleh Pemangku Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn ke seluruh negara menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Allahyarham telah pergi ke London untuk menjalani rawatan akibat penyakit ‘acute leukemia’ yang dihidapi olehnya. Jenazah Allahyarham telah diterbangkan dengan penerbangan Khas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan kemudianya di bawa ke kediamaan Allahyarham di Sri Taman, Kuala Lumpur sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Penglibatan Tun Abdul Razak dalam arena politik bermula sejak menuntut di London lagi, dan bergiat aktif setelah memasuki UMNO dan dilantik sebagai Ketua Pemuda. Mulai tahun 1951 hingga 1970 Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Timbalan Yang di Pertua UMNO dan menganggotai jemaah kabinet sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1955.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham amat dirasai oleh seluruh masyarakat, di atas segala jasa bakti yang telah disumbangkan dalam pembangunan negara, Tun Abdul Razak telah diberi gelaran sebagai Bapa Pembangunan Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen