tun_abdul_razak_1968-800px
Sejarah

Tun Abdul Razak Dilantik Sebagai Perdana Menteri

22 September 1970 – YAB Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri yang kedua bagi menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara dari arena politik pada tahun 1970. Upacara pelantikan ini telah berlangsung di Istana Negara dalam satu majlis ringkas di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Tunku Abdul Rahman Putra.

Semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan beberapa dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu satu strategi pembangunan ekonomi bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia dari segi pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi.

Bagi memupuk perpaduan rakyat, Tun Abdul Razak telah memesatkan lagi pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan menambah bilangan sekolah dan institusi pengajian kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta menggubal Rukunegara.

Bagi memantapkan politik Malaysia, beliau telah mengembangkan gagasan dan gabungan Parti Perikatan melalui gabungan dan kerjasama dengan lebih banyak parti politik sehingga tertubuhnya Barisan Nasional pada 1 Januari 1973.

Di peringkat antarabangsa, beliau mengukuhkan lagi ASEAN dengan mengemukakan gagasan Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dalam persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard