H. I. D. S. – Tugu Peringatan Negara Dirasmikan

Tugu_Negara08 Februari 1966 – Pada hari ini dalam tahun 1966, Tugu Peringatan Negara, di Bukit Perwira telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman, Presiden Korea, Chung Hee Park adalah di antara orang-orang kenamaan yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Tugu Peringatan Negara mengikut YTM Tunku Abdul Rahman merupakan simbol dua kemenangan oleh para penduduk Tanah Melayu iaitu kemenangan ke atas pihak pengganas komunis dan kemenangan kepercayaan rakyat kepada negara. Tapak Tugu ini telah dibuat daripada batu yang telah beribu-ribu tahun tertanam di salji Kutub Utara dan patung-patung pada tugu tersebut direkabentuk oleh Felix de Welden, yang kemudiannya dianugerah gelaran Dato’ di atas jasanya tersebut.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, YTM Tunku telah mengembalikan ingatan tentang penderitaan rakyat Tanah Melayu yang telah mengorbankan jiwa dan raga demi kejayaan negara. Dalam majlis itu juga kira-kira 100 waris pahlawan yang gugur dalam masa darurat pertama 1948 telah diundang khas.

Dalam upacara bersejarah tersebut DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung telah menyingkap tirai kuning yang menutupi papan nama tugu diiringi tiupan trompet dengan irama menghibakan. Serentak dengan itu bendera Malaysia perlahan-lahan dinaikkan ke puncak tiang yang dipegang oleh salah satu patung pada tugu tersebut.

Dengan perasmian Tuga Negara pada hari ini dalam tahun 1966 itu menandakan simbol kemenangan dan kejayaan negara dalam menghadapi keadaan darurat serta sebagai ingatan abadi terhadap perjuangan anggota keselamatan dalam mempertahankan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen