H. I. D. S. – Tentera Jepun Menyeberang Selat Johor

09 Februari 1942 – Pada hari ini dalam tahun 1942, tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita telah menyeberangi Selat Johor dalam usahanya menyerang Singapura. Sebelum menyeberangi Selat Johor, Tentera Udara dan Pasukan Meriam Jepun telah membedil sasaran-sasaran di Singapura untuk melemahkan pertahanan tentera Inggeris.

Kekuatan tentera Jepun telah berjaya mengundurkan tentera bersekutu Inggeris, India dan Australia. Setelah seluruh Tanah Melayu ditawan, tentera Jepun mara ke Singapura walaupun tambak Johor telah dimusnahkan oleh tentera Inggeris. Tentera Jepun telah menyeberangi Selat Johor melalui bahagian yang tersempit di Selat Johor iaitu di bahagian Barat Laut Pulau Singapura.

Pantai itu dipenuhi dengan paya lumpur dan berhutan. Ini memberikan keuntungan kepada tentera Jepun. Pertahanan Inggeris pula tidak menduga tentera Jepun akan menggunakan laluan tersebut.

Serangan udara Jepun berjaya memusnahkan kubu-kubu Inggeris dan sistem bekalan air. Gudang yang membekalkan makanan kepada Inggeris di Bukit Timah pula berjaya dikuasai. Tentera Inggeris bertambah lemah, berikutan kekurangan peluru dan minyak petrol.

Akhirnya Jeneral Percival bersama tenteranya terpaksa menyerah kalah dan Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen