Tengku Abdullah Menyerang Tentera Siam Di Kedah

28 April 1823 – Pada hari ini dalam tahun 1823, Tengku Abdullah telah mengetuai bala tentera Kedah seramai 3,000 orang untuk memerangi markas tentera Siam di Kedah. Serangan ini dilancarkan untuk mengembalikan takhta Kerajaan negeri Kedah kepada ayahandanya Sultan Ahmad Tajuddin Shah II yang telah melarikan diri ke Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris setelah Kedah ditawan oleh Siam pada tahun 1821.

Terdahulu dari itu pada tahun 1786, Sultan Ahmad Tajuddin telah membuat perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (E.I.C.) di mana baginda bersetuju menyerahkan Pulau Pinang kepada pihak Inggeris dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan dari serangan musuh-musuhnya. Tetapi oleh kerana perjanjian itu tidak dipersetujui oleh Gabenor Jeneral di India, pihak Inggeris gagal membantu apabila Kedah diserang dan ditawan oleh Siam.

Semasa berada di Pulau Pinang, Sultan Ahmad Tajuddin Shah terus berusaha untuk mendapatkan takhtanya kembali. Dalam bulan April tahun 1831, baginda mengadakan satu pemberontakan terhadap Siam dengan bantuan orang-orang pelarian Kedah di Pulau Pinang dan juga orang-orang pelarian Melayu daripada Kelantan, Terengganu dan Petani. Walau bagaimanapun pemberontakan itu gagal. Kerana kegiatannya itu baginda kemudiannya dipaksa oleh Inggeris meninggalkan Pulau Pinang ke Melaka.

Setelah gagal menggunakan kekerasan Sultan Ahmad Tajuddin akhirnya mengambil keputusan untuk mendapatkan semula Kedah daripada tangan Siam secara diplomasi dengan menghantar putera sulungnya, Tengku Abdullah atau Tengku Daik ke Bangkok untuk berunding dengan Raja Siam.

Dalam tahun 1842, Siam bersetuju menyerahkan semula Kerajaan negeri Kedah kepada Sultan Ahmad dengan syarat Kedah di bawah pengaruh Siam dan dikehendaki menghantar bunga emas tiap-tiap tiga tahun sekali. Setul dan Perlis yang dahulunya termasuk dalam jajahan Kedah kini telah dipisahkan dari Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen