H.I.D.S – Tawaran Penyerahan Diri Beramai-Ramai Kepada Pengganas-Pengganas Komunis

06 September 1949 – Pada hari ini dalam tahun 1949 , Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menawarkan penyerahan diri beramai-ramai kepada anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak ganas menentang Kerajaan melalui pertubuhan militannya yang dikenali sebagai Malayan Races Liberation Army (MRLA). Tawaran penyerahan diri ini beramai-ramai kepada anggota MRLA yang kebanyakan terdiri daripada anggota- anggotanya terpedaya atau dipaksa untuk menyertai perjuangan PKM.

Tawaran tersebut telah dibuat melalui satu pengumuman siaran radio pada waktu tengah malam dan juga penyebaran beribu-ribu risalah yang ditulis dalam Bahasa Melayu, Cina dan Tamil. Tawaran itu menjelaskan bahawa dengan pindaan undang-undang, sesiapa yang telah bersekutu dengan komunis serta membawa senjata serta tinggal bersama-sama komunis tetapi menyerah diri dengan sukarela, tidak akan didakwa di atas tindakan yang membawa kepada hukuman bunuh. Tiap-tiap orang yang menyerah diri dengan sukarela akan dipertimbangkan mengikut keadaan masing-masing.

Sesungguhnya, penawaran ini merupakan antara langkah-langkah yang di ambil oleh kerajaan untuk menghapuskan ancaman komunis bagi membolehkan kemerdekaan negara dicapai pada tahun 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen