H. I. D. S. – Tamatnya Tempoh Membebaskan Hamba Di Perak

31 Disember 1883 – Pada hari ini dalam tahun 1883, tamatlah tempoh membebaskan hamba-hamba di negeri Perak. Mereka yang enggan mematuhi perintah itu akan didenda. Keputusan membebaskan hamba di negeri itu adalah dengan daya usaha Sir Hugh Low, Residen Inggeris di Perak.

Hugh Low dilantik menjadi Residen pada bulan April 1877. Sejak awal-awal lagi, beliau telah meminta pandangan Raja Yusuf, Raja Idris, Dato’ Temenggong, Sheikh Mat Taib dan ramai lagi pembesar-pembesar Perak mengenai perhambaan di negeri itu. Beliau telah mencadangkan enam perkara dan satu daripadanya menyebutkan bahawa di masa akan datang, apabila negeri Perak bertambah maju, kerajaan negeri akan menebus segala hutang yang ditanggung oleh hamba-hamba berpandukan syarat-syarat yang akan ditentukan oleh Majlis Mesyuarat Negeri yang akan dilantik kelak. Tanda-tanda keaiban dari sistem perhambaan di Perak akan dihapuskan.

Dalam tahun 1878, Raja Yusuf telah bertindak atas arahan Sir Hugh Low supaya semua hamba-hamba didaftarkan. Dalam soal perhambaan ini Sir Hugh Low amatlah tegas. Raja Idris, Datuk Raja Mahkota dan Orang Kaya Temenggung telah tidak berjaya untuk mendapatkan lanjutan masa hingga kepada tahun 1884 sebelum hamba-hamba dihapuskan di Perak. Walau bagaimanapun beliau tetap mencadangkan supaya 31 Disember 1883, sebagai tarikh hamba-hamba ini dibebaskan.

Raja Idris dan lain-lain pembesar akhirnya bersetuju dengan beberapa resolusi antara lainnya:
*Ganti rugi kepada tuan-tuan punya hamba mengikut kadar syarat-syarat pembebasan hamba dengan bayaran maksimum sebanyak $30.00 untuk hamba lelaki dan hamba berhutang serta $60.00 untuk hamba perempuan.

Dalam jangka masa antara Oktober 1882 hingga 31 Disember 1883 iaitu tarikh resolusi diluluskan oleh Majlis dan tarikh hamba-hamba dibebaskan, semua hamba-hamba tetap berkhidmat dengan tuan-tuan ataupun membayar daripada jumlah kadar syarat-syarat pembebasan hamba yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri mengikut kadar maksimum $15.00 untuk hamba lelaki dan $30.00 untuk hamba perempuan. Di dalam masa peralihan itu juga semua hamba-hamba akan didaftarkan dan dipindahkan daripada tuan punya hamba.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen