H.I.D.S – Surau Polis Pertama Di Malaya

Polis Diraja Malaysia10 Julai 0953 – Pada hari ini dalam tahun 1953, Surau Polis Pertama di Malaya telah dibuka dengan rasminya oleh Datin Hamidah iaitu isteri kepada Datuk Setiuasaha Kerajaan Negeri Terengganu. Surau polis yang pertama itu terbina hasil daripada desakan isteri-isteri polis, khasnya usaha Polis Persekutuan Tanah Melayu di Terengganu.

Pembinaan surau itu bertujuan untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada segala urusan agama, terutama bagi kepentingan ahli-ahli polis Kuala Terengganu.  Berucap di Majlis Perasmian itu, Timbalan Ketua Pegawai Polis Terengganu, En. Talib bin Lisut, menegaskan tentang peri pentingnya mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.  Oleh yang demikian diharap bangunan surau itu nanti dapat digunakan dengan sebaik mungkin khasnya dalam menjalankan aktiviti agama dan kebajikan.

Turut hadir di majlis itu ialah Mufti Kerajaan Terengganu, guru-guru agama perempuan Madrasah Al Sultan Zainal Abidin, Setiausaha Pejabat Agama dan Pemeriksa Hal Ehwal Agama serta pegawai-pegawai polis.  Sesungguhnya, perasmian surau polis pertama pada hari ini dalam tahun 1953, merupakan satu catatan sejarah kepada ahli-ahli polis di Malaya, khasnya di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen