H.I.D.S. Sultan Sulaiman Menyerahkan Siak Kepada Belanda

14 Disember 1745 – Pada hari ini dalam tahun 1745, Sultan Sulaiman, Sultan bagi Kerajaan Johor- Riau telah menyerahkan Siak kepada Belanda. Penyerahan itu adalah sebagai balasan kepada Belanda yang akan membantu Sultan Sulaiman memerangi musuhnya, iaitu orang-orang Bugis.

Tindakan orang-orang Bugis menguasai bidang ekonomi dan juga politik di negeri-negeri Melayu menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan orang-orang Melayu dan Belanda. Dengan berpengkalan di Selangor maka pengaruh Bugis mula merebak ke Kedah dan Perak.

Menyedari akan keadaan itu, Sultan Sulaiman mengalihkan perhatian kepada pihak Belanda yang sememangnya biasa membuat perjanjian dengan kerajaan Johor. Pada masa yang sama Sultan Sulaiman sendiri terhutang budi dengan orang-orang Bugis yang membantu Baginda mendapatkan semula takhta kesultanan Johor-Riau. Sebagai balasan, gelaran Yang Di Pertuan Muda Riau diberikan kepada keturunan Bugis.

Namun begitu, tindakan Bugis yang sentiasa berusaha meluas pengaruh, menimbulkan rasa cemburu di kalangan orang-orang Melayu termasuklah Sultan Sulaiman sendiri. Oleh yang demikian, Sultan Sulaiman tidak mempunyai pilihan lain, kecuali meminta pertolongan Belanda.

Dengan itu, pada hari ini dalam tahun 1745, Baginda menyerahkan Siak kepada Belanda sebagai memenuhi kehendak Belanda. Dengan perjanjian itu juga, Baginda berjanji untuk mengkaji semula perjanjian yang pernah dibuat dengan Syarikat Hindia Timur Belanda, dengan memberikan keutamaan kepada monopoli bijih timah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen