H.I.D.S – Sultan Ibrahim Johor Diisytiharkan Menjadi Sultan

Johor-Ibrahim07 September 1895 – Pada hari ini dalam tahun 1895, Tengku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim diisytiharkan menjadi Sultan Johor menggantikan almarhum ayahanda baginda diistiadat pemakaman jenazah Sultan Abu Bakar di Istana Besar, Johor Bahru. Sempena perisytiharan ini satu istiadat pertabalan dan memahkotakan baginda sebagai Sultan Yang di-Pertuan Negeri Johor telah diadakan pada 2 November 1895. Ketika itu baginda baru sahaja berusia 22 tahun.

Sebelum ini baginda bergelar Tengku Mahkota Johor iaitu gelaran yang disandang sejak tahun 1891. Sebelum menjadi sultan, baginda pernah memasuki perkhidmatan Pasukan Askar Johor sebaik sahaja tamat persekolahan. Setelah menerima tauliah sebagai Leftenan Muda dalam pasukan tersebut baginda telah berkhidmat sebagai ‘edikong’ kepada ayahanda baginda almarhum Sultan Abu Bakar.

Baginda merupakan seorang raja yang tegas dan mementingkan disiplin. Kakitangan di bawah kerajaan baginda sering diingatkan supaya tidak bertindak sesuka hati malah mereka dikehendaki menjalankan tugas dengan betul dan menepati waktu serta berpakaian lengkap dan kemas. Untuk itu lawatan-lawatan sering dilakukan oleh baginda sendiri bagi melihat keadaan ini.

Di awal pemerintahan baginda ini kebanyakkan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu telah berada di bawah naungan British atau setidak-tidaknya telah menerima Penasihat Am British namun ketegasan dan kebijaksanaan baginda telah dapat menjamin negeri Johor daripada kawalan pengaruh Inggeris. Baginda bersikap merdeka dan tidak suka dikawal malah jarang mengikut nasihat daripada pejabat Jajahan di London apatah lagi nasihat-nasihat daripada pegawai-pegawai Inggeris di negeri-negeri Selat.

Pada awal tahun 1910 barulah baginda menerima Penasihat Am British atas sebab-sebab tertentu tetapi hanyalah bermakna memasuki lingkungan pentadbiran dan pengawalan Inggeris di peringkat boleh menasihati tetapi tidak dimestikan diikuti. Kehadiran pegawai British hanyalah menunjuk ajar kaedah pentadbiran cara moden sahaja.

Baginda telah melalui zaman pemerintahan yang lama iaitu sepanjang 64 tahun. Baginda sama-sama meniti sejarah kemasukan Inggeris bahana Perang Dunia Pertama dan Kedua, pemerintahan Jepun dan kehadiran semula Inggeris di Tanah Melayu. Malah baginda juga turut sama menandatangani Perjanjian Persekutuan yang membatalkan kewujudan ‘Malayan Union’ di Tanah Melayu.

Baginda seorang raja yang memandang tinggi nilai kemerdekaan negerinya dan mempercayai hubungan baik dengan negara luar terutama kerajaan Inggeris dapat membantu baginda mempertahankan maruah negerinya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen