H.I.D.S. – Sultan Abdullah Menandatangani Pengisytiharan Memberi Kuasa Memungut Cukai Kepada Residen

Sultan Abdullah Muhammad Shah24 Julai 1874 – Pada hari ini 24.07.1874, Sultan Abdullah yang dilantik menjadi Sultan Perak berikutan dengan pengisytiharan memberi kuasa memungut cukai kepada Residen. Pengisytiharan ini telah diketepikan buat beberapa waktu kerana keengganan baginda menandatanganinya akibat daripada perlantikan dan perselisihan yang berlaku dengan J.W.W. Birch iaitu Residen Inggeris yang pertama di Perak.

Kedatangan Birch di Perak sebagai Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas. Perselisihan Sultan Abdullah dengan Birch menjadi rumit apabila Birch tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Abdullah memajakkan kuasa memungut cukai di Muara Sungai Perak kepada seorang saudagar Cina. Birch berpendapat kuasa memungut cukai itu hendaklah diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik olehnya.

Dalam bulan Februari dan Mac, Birch telah mendesak Sultan Abdullah supaya menandatangani pengisytiharan yang membolehkan beliau mengambil alih tugas-tugas memungut semua cukai. Sultan Abdullah dengan disokong oleh Laksamana dan Menteri Larut enggan menandatangani pengisytiharan tersebut. Sultan Abdullah telah bertindak menulis surat dan cuba menghantar wakil menemui Sir Andrew Clarke untuk meminta supaya Birch ditukarkan ataupun dihadkan kuasanya. Tetapi tindakan Sultan Abdullah itu telah gagal.

Satu lagi perselisihan antara Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Perak dengan Birch telah terjadi apabila Residen bertindak melindungi hamba abdi yang melarikan diri. Orang-orang besar menganggap perbuatan ini sebagai satu cabaran kepada hak turun temurun mereka. Sementara itu Birch sekali lagi meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan berkaitan dengan kuasa memungut cukai tersebut dan Sultan diberi tempuh sehingga 20hb. Julai, untuk berbuat demikian kalau tidak jawatan baginda akan diturunkan.

Memandangkan kepada ancaman ini, satu mesyuarat telah diadakan pada 21hb. Julai di Durian Sebatang dengan dihadiri oleh pembesar-pembesar Perak atau wakil-wakil mereka kecuali Raja Yusof. Hasil mesyuarat ini satu rancangan telah diatur untuk membunuh Birch yang dianggap telah merosakkan adat istiadat yang lama. Maharaja Lela sanggup menjalankan pembunuhan tersebut.

Sultan Abdullah pula pada zahirnya akan menunjukkan perhubungannya yang biasa dengan Residen, dan bersetuju menandatangani pengisytiharan yang memberi kuasa memungut semua cukai kepada Residen. Dalam pada itu dengan cara sulit, Sultan Abdullah telah menghantar orang-orang baginda ke Pulau Pinang untuk membeli senjata bagi pemberontakan yang akan dijalankan. Akhirnya rancangan ini sampai ke puncaknya apabila Birch dibunuh dalam bulan November 1875 di Pasir Salak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen