H. I. D. S. – Sir Gerald Templer Dilantik Sebagai Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu

20 Februari 1952 – Pada hari ini dalam tahun 1952, Jeneral Sir Gerald Templer, seorang Pegawai Tinggi Tentera British telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, menggantikan Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi yang telah mati ditembak oleh pengganas komunis dalam satu serang hendap pada bulan Oktober tahun 1951. Inilah kali pertama kerajaan British di London melantik seorang pegawai tentera memegang jawatan awam di Tanah Melayu.

Pelantikan seorang pegawai tentera sebagai pegawai awam adalah sesuai dengan keadaan pada masa itu kerana Tanah Melayu sedang berada dalam keadaan darurat. Pelantikan Jeneral Sir Gerald Templer itu menunjukkan kerajaan British memandang serius terhadap ancaman pengganas komunis dan berazam untuk memperhebatkan lagi kegiatan menentang pergerakan itu di Tanah Melayu.

Jeneral Sir Gerald Templer telah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi sehingga bulan Mei 1954. Dalam tempoh perkhidmatannya, beliau telah berjaya menahan dan mencegah kegiatan-kegiatan komunis dengan menggunakan taktik perang-psikologi untuk mempengaruhi dan menawan hati serta fikiran rakyat Tanah Melayu. Beliau telah menyusun kembali Pasukan Polis serta memperhebatkan lagi kegiatan-kegiatan Cawangan Khas Polis dalam usaha menangkap penyokong-penyokong komunis.

Di perkampungan-perkampungan baru beliau telah menubuhkan pasukan kawalan kampung dan mengadakan catuan makanan supaya orang-orang di situ tidak dapat menolong pihak komunis. Beliau juga melancarkan perkhidmatan sosial dengan membina sekolah-sekolah rendah, hospital dan klinik-klinik rawatan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

Banyak publisiti dibuat melalui radio dan risalah-risalah yang disebarkan ke dalam hutan untuk menggalakkan pengganas-pengganas komunis menyerah diri. General Templer juga telah menggalakkan kegiatan-kegiatan kebudayaan dan tradisi rakyat Tanah Melayu dalam usaha menyatukan rakyat dan menimbulkan semangat bersatu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen