durbar_pertama-800px
Sejarah

Sidang Raja-Raja Melayu (DURBAR) Yang Pertama

13 Julai 1897 – Pada tahun 1897, Sidang Raja-raja Melayu (Durbar) yang pertama, telah diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar. Hadir di dalam Sidang Durbar ini ialah DYMM Sultan Perak, Sultan Idris; Sultan Pahang, Sultan Ahmad; Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad dan Yam Tuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad. Baginda Raja-raja Melayu telah diiringi oleh Orang-orang Besar.

Hadir bagi pihak Kerajaan British pula ialah Sir Charles Mitchell, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Hugh Clifford, Residen Pahang; J.P. Rodger, Residen Selangor dan W.H. Treacher, Residen Negeri Perak.

Sidang Durbar ini merupakan persidangan Raja-raja Melayu yang pertama diadakan di mana Sultan-sultan, dan Pembesar-pembesar Melayu dapat bertemu dalam satu perjumpaan yang besar. Bagaimanapun ia juga merupakan persidangan Raja-raja Melayu dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu sahaja.

Tujuan utama Sidang Durbar ialah untuk memperlihatkan kepada Raja-raja Melayu tentang keadaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan bertukar-tukar fikiran mengenai negeri masing-masing.

Dalam persidangan ini perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan lain-lain masalah yang tertentu mengenai kepentingan Orang-orang Melayu telah dibincangkan.

Hasil daripada persidangan seperti ini, seperti yang dinyatakan oleh Residen General, Sir Frank Swettenham, ia telah mendekatkan lagi realiti Negeri-Negeri Melayu Bersekutu kepada orang-orang Melayu di keempat-empat buah negeri itu – Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan dan menyedarkan mereka untuk bersatu dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan hal-hal kepentingan bersama dan mengeratkan hubungan peribadi.

Selain daripada itu, ia tidak menghasilkan sebarang kepentingan pentadbiran kerana tidak ada apa yang boleh diputuskan dalam persidangan itu oleh kerana Raja-raja itu tidak dibenarkan bersuara selain daripada hal-hal yang berkaitan dengan negeri masing-masing. la semata-mata merupakan sebuah badan penasihat.

Bagaimanapun persidangan ini telah membuka jalan kepada Raja-raja Melayu untuk mengenali sistem pentadbiran penjajah British dan dengan itu dapat memberi teguran-teguran yang bernas seperti yang pernah disuarakan oleh Sultan Idris Perak dalam Durbar Kedua yang berlangsung pada 20 hingga 23 Julai 1903.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard