parlimen_pertama-800px
Sejarah

Sidang Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu

11 September 1959 – Sidang Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, mengikut perkara (1) Fasa 55 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1959. Persidangan ini telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur serta dihadiri oleh Ahli-ahli Parlimen yang berjaya terpilih dalam Pilihanraya Parlimen Persekutuan yang diadakan pada 19 Ogos 1959.

Dalam persidangan ini seramai 104 orang Ahli Parlimen telah mengangkat sumpah. Dalam persidangan itu, Dato’ Haji Mohammad Noah bin Omar telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dato’ Haji Abdul Rahman bin Mohd Yassin telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli-ahli Dewan Negara yang dipilih dan dilantik juga telah turut mengangkat sumpah dalam persidangan yang sama. Ekoran dari Perisytiharan itu pada 12 September 1959, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah merasmikan pembukaan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.

Dengan pengisytiharan itu, maka dengan rasminya Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah wujud dan menjadi lambang demokrasi negara ini. Dengan terbentuknya Parlimen menurut Perlembagaan Persekutuan Bahagian 4 Fasa 44, Kuasa Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu adalah terserah kepada Parlimen yang mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sesungguhnya kewujudan Parlimen Persekutuan ini maka negara ini telah sempurna menerima dasar berpegang kepada rukun demokrasi berparlimen.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard