H.I.D.S. – Serangan Pertama Portugis Ke Atas Melaka

Alfonso de Albuquerque
Alfonso de Albuquerque

25 Julai 1511 – Pada hari ini dalam tahun 1511, Melaka telah diserang oleh askar-askar Portugis yang diketuai oleh Alfonso D’Albuquerque. Serangan yang dilancarkan oleh askar-askar Portugis ini merupakan serangan yang pertama ke atas Melaka ekoran daripada tidak ada tolak ansur di antara Sultan Mahmud, dan orang-orang Portugis mengenai orang-orang tahanan Portugis.

Askar-askar Portugis telah melancarkan serangan pada waktu subuh hari ini, iaitu hari St. James, dengan menaiki beberapa buah perahu. Orang-orang Portugis mendarat di bahaglan utara dan selatan bandar Melaka. Perahu-perahu yang membawa askar-askar Portugis telah dibedil dengan meriam dari darat oleh orang-orang Melayu. Tetapi askar-askar Portugis itu dapat juga mendarat, dan satu pertempuran hebat telah berlaku di antara askar-askar Portugis dan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Mahmud dan putera baginda Raja Ahmad. Setelah bertempur beberapa jam lamanya ramai askar-askar kedua belah pihak terbunuh dan orang-orang portugis telah mencapai objektifnya untuk menawan jambatan dekat dengan Kuala Sungai Melaka. Bagi orang-orang Melayu banyak rumah-rumah dan harta benda telah musnah, dan yang paling penting ialah Istana Sultan Melaka yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Melayu yang telah turut juga musnah.

Askar-askar Portugis seramai 70 orang yang mempertahankan jambatan serta membuat kubu-kubu di kedua-dua hujung jambatan itu, telah dihujani dengan tembakan meriam, tombak dan sumpitan beracun dari orang-orang Melayu. Oleh kerana serangan itu tidak berhenti-henti maka orang-orang Portugis tidak dapat mempertahankan jambatan tersebut dan semuanya telah terbunuh kecuali seorang pegawai bernama Fernao Gomez yang selamat. Pada petang itu juga baki askar-askar Portugis yang hidup di bandar Melaka telah bertempiaran lari ke kapal mereka.

Sesungguhnya peperangan tersebut adalah satu detik bersejarah bagi orang-orang Melayu untuk mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis. Kekalahan Portugis dalam pertempuran tersebut adalah satu kemenangan bagi orang-orang Melayu dalam usaha mempertahankan Melaka daripada kuasa besar Barat yang bertujuan untuk menguasai perdagangan dan menghapuskan pusat perkembangan Islam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen