H.I.D.S. – Rundingan Mengenai Pertelingkahan Sempadan Di Antara Negeri Selangor Dengan Sungai Ujong

Dato_Klana,_Sungai_Ujong24 November 1863 – Pada hari ini dalam tahun 1863, Raja Abdullah dan Dato’ Kelana Sending telah berunding mengenai pertelingkahan sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujong. Turut hadir dalam perundingan itu ialah Residen Melaka, Kapten Playfair, yang bersahabat baik dengan Dato’ Kelana Sending.

Masalah sempadan di antara negeri Selangor dengan Sungai Ujong berpunca bila orang-orang Bugis mulai bertapak dan berpengaruh di Selangor di awal abad ke-18. Kedudukan Sungai Sepang pada asalnya adalah di dalam Negeri Sembilan tetapi telah menjadi wilayah Selangor semasa orang-orang Bugis memperluaskan kuasa hingga ke Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan kawasan Dato’ Kelana Sending. Beliau bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu.

Dalam tahun 1862, Dato’ Kelana Sending telah menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad kerana negeri Selangor mengambil Sungai Linggi dan Tanjung Tuan. Ekoran daripada ini maka pada hari ini dalam tahun 1863, Raja Abdullah sebagai wakil negeri Selangor telah berunding dengan Dato’ Kelana Sending untuk menyelesaikan pertelingkahan sempadan tersebut.

Dalam rundingan itu Raja Abdullah dengan berat hati terpaksa menyerahkan kawasan Lukut dan Sungai Linggi kepada Sungai Ujong secara lisan. Sungguhpun begitu pembesar-pembesar negeri Selangor masih terus memerintah Lukut dan Sungai Linggi.

Tiga tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1866, masalah sempadan negeri Selangor – Sungai Ujong timbul semula. Akhirnya pada 11 Julai 1868, Sultan Abdul Samad secara bertulis menyerahkan Sungai Linggi kepada Dato’ Kelana Sending sebagai batas sempadan kedua-dua negeri. Keputusan ini telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kelang dan Lukut dan akhirnya pertelingkahan terus berlarutan.

Sehingga beberapa tahun bertelingkah akhirnya Residen Selangor, B. Douglas, Residen Sungai Ujong P.J. Murray, Sultan Abdul Samad dan Dato’ Kelana telah dapat menyelesaikan masalah sempadan kedua-dua negeri itu melalui satu perjanjian pada tahun 1878. Dengan termeterainya perjanjian itu sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujong ditetapkan di Sungai Sepang hinggalah ke hari ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen