merdeka-800px
Sejarah

Rombongan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu Berlepas Ke London

09 Mei 1957 – Pada tahun 1957, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman beserta rombongan telah berlepas ke London. Antara yang turut serta dalam rombongan itu ialah Dato’ Abdul Razak Hussein (Menteri Pelajaran), Tuan V.T. Sambanthan (Menteri Buruh), Encik Shamsuddin bin Nain (Menteri Besar Negeri Sembilan), YM Tengku Ismail bin Tengku Yahya (Menteri Besar Kedah) dan Tuan Haji Mustaffa Al-Bakri (Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu).

Tujuan rombongan ini ke London adalah untuk mengadakan rundingan perkara-perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka dengan Kerajaan British. Hasil keputusan rundingan berkenaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Melaka dan Pulau Pinang telah dibawa ke Persidangan Raja-Raja pada bulan Jun 1957.

Berikutan daripada itu, kertas putih Rangka Perlembagaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah dihasilkan dan dibincangkan oleh Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis Mesyuarat Negeri di negeri-negeri. Ianya telah diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London pada 2 Julai 1957.

Sesungguhnya, rombongan rundingan ini merupakan usaha terakhir dalam menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu daripada Kerajaan British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard