H. I. D. S. – Rentap Menyerang Kubu Nanga Skrang, Sarawak

26 April 1853 – Pada hari ini dalam tahun 1853, ketua suku Dayak Laut yang terkenal bernama Rentap atau nama asalnya Libau bersama-sama pengikutnya telah menyerang kubu milik kerajaan James Brooke di Nanga Skrang, Sarawak. Nama Rentap diberikan kerana kegagahan beliau. Ia membawa maksud ‘penggoncang dunia’.

Pemerintahan James Brooke ditentang kerana telah mencabuli adat resam kaum Iban. Pemerintah itu telah melarang suku kaum Iban berdagang di persisir pantai bagi menghalang mereka dari bercampur-gaul dengan orang Melayu.

Kekalahan kerajaan James Brooke di Nanga Skrang, telah menyemarakkan lagi semangat perjuangan Rentap. Beliau telah membina kubu di atas Gunung Sadok dan menggelarkan dirinya sebagai ‘Raja Darat Sarawak’. Ini telah menggugat kedudukan Brooke yang sebelum ini bergelar ‘Raja Sarawak’.

Dalam bulan Jun 1857, Brooke telah mengerahkan seramai 3,000 orang Than dan 500 orang Melayu untuk menyerang Rentap, namun gagal. Akhirnya, pada September 1861, Brooke berjaya memusnahkan kubu Rentap. Pada 28 Oktober 1861, kubu dan perkampungan Rentap itu musnah dibakar dan ini memaksa Rentap melarikan diri ke Entabai, dekat Sungai Kanowit.

Walaubagaimanapun, perjuangan Rentap dan pengikutnya melambangkan semangat juang yang jitu dalam membela adat resam dan budaya serta hak kaum mereka di bumi kelahiran mereka sendiri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen