kelab_sultan_sulaiman-800px
Sejarah

Rapat Umum Pertama Penubuhan Malaysia Di Kuala Lumpur

06 Januari 1962 – Satu rapat umum yang pertama mengenai penubuhan Malaysia telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1962. Dalam rapat umum ini dianggarkan lebih daripada 5,000 orang telah membanjiri Padang Kelab Sultan Sulaiman untuk mendengar ucapan tokoh-tokoh daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak.

Diantara perwakilan yang menghadiri rapat umum itu ialah Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu; Encik Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura; Encik Donald Stephens, Ketua Perwakilan Borneo Utara; Temenggung Jugah dan Reminguis Duuin, anggota perwakilan Sarawak dan Datuk Setia Pengiran Hj. Yusof bin Haji Abdul Rahim perwakilan dari Brunei.

Tun_Razak_color

Ucapan Tun Abdul Razak Mengenai Penubuhan Malaysia

Semasa berucap di rapat umum itu, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah mengecam parti-parti politik yang menentang pembentukan Malaysia sambil menyifatkan parti-parti politik itu menghalang usaha-usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan untuk faedah orang ramai. Menurut beliau lagi, dengan tertubuhnya Malaysia, akan mempercepatkan negara Singapura, Sarawak, Borneo Utara (sekarang Sabah) dan Brunei mencapai kemerdekaan.

Beliau juga telah menafikan dengan tegas dan keras anggapan bahawa rancangan Malaysia itu untuk menjajah negeri-negeri tersebut. Tambahan pula kerajaan Inggeris telah memberikan persetujuan supaya negeri-negeri di Borneo disatukan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Datuk Ong Yoke Lin pula iaitu Ketua Perwakilan Persekutuan Tanah Melayu ke sidang Jawatankuasa Perundingan itu yang juga Menteri Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat Persekutuan telah memberitahu rapat umum itu, bahawa adanya anasir-anasir komunis dan subversif di negeri-negeri yang masih terjajah. Malah anasir-anasir itu kini sedang giat menghalang perlaksanaan rancangan membentuk Malaysia itu.

Sesungguhnya rapat umum yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1962 di Kuala Lumpur telah membuktikan perpaduan dan sokongan orang ramai terhadap rancangan penubuhan Malaysia yang dikemukan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard