H. I. D. S. – Rang Undang-Undang Bernama Dibentangkan Di Dewan Rakyat

bernama_logo07 Mac 1967 – Pada hari ini dalam tahun 1967, Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia, Yang Berhormat Encik Senu bin Abdul Rahman telah membentangkan rang undang-undang Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) di Dewan Rakyat.

Semasa membentangkan rang undang-undang tersebut, Encik Senu menjelaskan bahawa BERNAMA yang akan ditubuhkan itu merupakan sebuah perbadanan bebas berdasarkan perkongsian antara akhbar-akhbar dan jabatan-jabatan media kerajaan. BERNAMA juga tidak bersetuju hendak menapis atau menyekat berita-berita, sebaliknya akan mengembangkan aliran berita dengan lebih banyak lagi baik di dalam mahupun di luar negeri. BERNAMA akan ditubuhkan dalam tiga peringkat:

Pertama ialah peringkat persediaan. Hanya peralatan yang asas sahaja diadakan. Dalam peringkat ini gerakan BERNAMA hanya terhad kepada ibu kota dan tempat-tempat yang berhampiran dengannya.

Kedua, memperbesarkan gerakannya sehingga ke Sabah dan Sarawak di samping negeri-negeri di seluruh Malaysia Barat.

Ketiga, menjadikannya sebuah syarikat yang dewasa hingga gerakannya meliputi seluruh ceruk rantau negara.

BERNAMA akan diselenggarakan oleh sebuah Lembaga Pengurusan terdiri daripada sepuluh orang ahli dan seorang ahlinya terdiri daripada wakil-wakil akhbar yang berlanggan dengan BERNAMA dan lima lagi terdiri dari Wakil Radio Malaysia, Televisyen, Jabatan Penerangan, Perkhidmatan Penerangan Luar dan Kerajaan.

Pengerusinya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agung dengan nasihat Jemaah Menteri. Lembaga Pengurus pula akan mempunyai sebuah Majlis Pengelola yang akan bertanggungjawab mengawasi supaya BERNAMA mematuhi perlembagaannya. Majlis ini mengandungi lima orang dan diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi.

Sesungguhnya dengan terbentang rang undang-undang BERNAMA di Dewan Rakyat pada hari ini dalam tahun 1967, BERNAMA akan dapat memberi kepada pembacanya gambaran yang lebih luas mengenai perkara-perkara yang berlaku sama ada di dalam atau di luar negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen