H. I. D. S. – Raja-Raja Melayu Memperkenan Lambang Persekutuan Tanah Melayu Yang Baru Diwartakan.

jata_persekutuan_tanah_melayu30 Mei 1952 – Pada hari ini dalam tahun 1952, Raja-raja Negeri Melayu telah memperkenankan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang baru diwartakan. Hal ini telah dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan iaitu Jeneral Sir Gerald Templer di Kuala Lumpur.

Reka bentuk lambang baru tersebut telah diusahakan oleh Jabatan Ukur bersama dengan Raja-raja Melayu dan Sir Henry Gurney. Ia menggunakan enam warna. Dalam lambang Persekutuan itu terdapat bintang pecah sebelas, yang mewakili 11 negeri dan bulan sabit melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi. Lima bilah keris di bawahnya menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Di kirinya lambang Negeri Pulau Pinang – Prince Of Wales yang berlatarkan ombak laut. Di kanannya pula lambang Gerbang Kota Santiago yang mewakili Negeri Melaka. Kedua negeri dipisahkan oleh warna hitam, merah dan kuning yang merupakan warna-warna berasingan bagi Negeri-negeri Bersekutu.

Lambang harimau merupakan lambang yang digunakan bagi Negeri-negeri Melayu sejak sebelum perang lagi. Lambang Persekutuan yang baru ini telah menjadi lambang kemegahan dan menjadi tanda Persekutuan Tanah Melayu sehingga selepas kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen