Raja Kecil Meminta Bantuan Belanda Untuk Merampas Semula Takhta Kerajaan Johor

04 Disember 1717 – Pada hari ini 4.12.1717, Raja Kecil dari Bengkalis telah mengirim surat kepada pemerintah Belanda di Melaka, meminta bantuan untuk merampas semula takhta Kerajaan Negeri Johor. Raja kecil seorang Ketua Minangkabau menetap di Bengkalis telah menulis surat kepada pihak Belanda di Melaka menyatakan bahawa dirinya adalah anak kepada Sultan Mahmud Shah (Raja Mangkat dijulang).

Bagi membuktikan bahawa baginda adalah waris yang sah, berhak menaiki takhta Kerajaan Johor, Raja Kecil merancang untuk menyerang Johor. Oleh kerana itu baginda telah menulis surat meminta pihak belanda di Melaka membantunya. Berita yang disampaikan oleh Raja Kecil itu telah menimbulkan keraguan pihak Belanda.

Ini disebabkan pada ketika Sultan Mahmud Shah mati dibunuh dalam tahun 1699, baginda tidak meninggalkan anak lelaki waris kerajaan. Oleh kerana itu pihak Belanda enggan untuk membantu Raja Kecil. Tambahan pula pada ketika itu Belanda mengamalkan polisi tidak mahu campurtangan dalam hal-hal berkaitan negeri-negeri Melayu.

Keengganan Belanda membantu Raja Kecil untuk menyerang Johor telah menambahkan lagi keretakkan hubungan antara Belanda di Melaka dengan orang-orang Minangkabau. Sebelum itu pemerintah Belanda di Melaka telah menerima dua pucuk surat dari pemerintah Minangkabau di Pagar Ruyong. Kedua-dua surat itu meminta bantuan pihak Belanda mendapatkan semula barang-barang dan orang-orang Sultan Mahmud yang telah ditawan dan dibawa oleh orang-orang Bugis ke Bengkalis. Sekiranya pihak Belanda enggan memberi bantuan pemerintahan Minangkabau di Pagar Ruyong bersedia untuk memutuskan hubungan dengan pihak Belanda.

Walaupun pihak Belanda enggan membantu orang-orang Minangkabau menyerang Johor, namun rancangan itu masih diteruskan atas alasan untuk membalas dendam kematian Sultan Mahmud Shah. Maka dalam tahun 1718 meletuslah peperangan antara orang-orang Minangkabau dengan Johor dan akhirnya Raja Kecil berjaya menakluki Johor.

Sesungguhnya dengan surat yang dihantar oleh Raja Kecil kepada pemerintah Belanda di Melaka pada tahun ini merupakan titik tolak kepada kebangkitan orang-orang Minangkabau sebagai kuasa politik yang penting dalam perkembangan politik di Selat Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen