tengku_kudin-800px
Sejarah

Raja Ismail Menyerang Raja Mahadi Di Kelang

17 Disember 1869 – Pada tahun 1869, Raja Ismail telah menyerang Raja Mahadi di Kelang. Raja Ismail menyerang Raja Mahadi kerana membalas serangan Raja Mahadi yang telah mengakibatkan ayahandanya Raja Abdullah terpaksa mengundur diri dari Kelang ke Melaka.

Raja Ismail juga bercita-cita untuk merampas semula daerah Kelang yang dimiliki oleh bapanya yang dikurniakan oleh Sultan Abdul Samad. Sebelum ini Daerah Kelang dikuasai oleh Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi tetapi setelah beliau meninggal dunia, Kelang diserahkan kepada Raja Abdullah.

Ketika Raja Abdullah memerintah, Kelang bertambah maju. Raja Abdullah telah membuka banyak perusahaan melombong bijih dan membawa masuk ramai pelombong Cina ke Kelang untuk membuka lombong bijih di kawasan-kawasan pendalaman. Raja Abdullah bertambah kaya apabila banyak hasil kutipan cukai diterimanya setelah lombong-lombong bijih di kawasan Ulu Kelang dan Ampang mengeluarkan hasil. Kuasa dan kekayaannya telah menambahkan cemburu kepada Raja Mahadi yang tidak puas hati kerana Sultan Abdul Samad telah mengenepikan dirinya dari mewarisi Kelang.

Tengku Kudin (duduk)

Dengan bantuan orang-orang Melayu Sumatera suku Mandahiling, Rawa, Batu Bara dan pengikut-pengikutnya beliau berjaya mengusir Raja Abdullah dalam tahun 1866. Serangan Raja Mahadi telah mengakibatkan berlakunya Perang Kelang.

Pada hari ini dalam tahun 1869, Raja Ismail menyerang Raja Mahadi untuk merampas kembali Kelang dari Raja Mahadi tetapi gagal mengusir Raja Mahadi. Peperangan berterusan dan melibatkan orang-orang luar yang diminta bantuan seperti Pahang, Kedah, negeri Sembilan, Inggeris dan Riau.

Peperangan Kelang berakhir pada tahun 1871 apabila angkatan Raja Mahadi dikalahkan oleh Yamtuan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad dengan bantuan tentera upahan Inggeris dan pengikut-pengikutnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard