H.I.D.S. – Putrajaya Di Isytihar Sebuah Wilayah Persekutuan

7 November 2000 – Pada hari ini dalam tahun 2000, Kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan telah menandatangani perjanjian yang menjadikan Putrajaya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan. Melalui perjanjian ini kawasan seluas 4,931 hektar yang sebelumnya adalah milik kerajaan negeri Selangor akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran baru.

Surat perjanjian ditandatangani oleh Pemangku Raja Selangor Raja Sharafuddin Idris Shah Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj manakala pihak Kerajaan Persekutuan pula diwakili oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj. Majlis bersejarah ini juga turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan juga Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohamad Khir Toyo sebagai saksi perjanjian yang dilaksanakan di Balai Rongseri Istana Negara.

Sesungguhnya perjanjian pada hari ini dalam tahun 2000 telah wujud secara rasmi sebuah wilayah sebagai pusat pentadbiran baru negara bagi mempercepatkan pembangunan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen