proton_logo-800px
Sejarah

Proton Tandatangani Perjanjian Pengedaran Proton Di United Kingdom

23 November 1987 – Proton Saga merupakan kereta nasional yang pertama dikeluarkan oleh Malaysia pada tahun 1985. Semenjak mula diperkenalkan sehingga sekarang, ianya telah menjadi kenderaan yang digemari oleh semua golongan masyarakat Malaysia.

Untuk meluaskan lagi pasaran kereta proton ke peringkat antarabangsa maka pada hari ini 23 November 1987, Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional, Tan Sri Jamil Jan dan Pengerusi Proton Cars (UK) Ltd., Encik David Alan Brown telah menandatangani perjanjian pengedaran kereta Nasional Proton Saga ke United Kingdom, Eire, The Isle of Man dan The Channel Islands.

proton

Pada pelancaran awal Proton Saga ke United Kingdom yang dijangka pada bulan Januari 1989, Proton Cars (UK) Ltd akan mengimport 5000 unit saga setahun dan bilangan ini akan ditambah kepada 14000 unit pada akhir tahun kelima.

Dalam ucapannya selepas menandatangani perjanjian pengedaran Proton Di United Kingdom, Tan Sri Jamil Jan telah berkata, bahawa usaha-usaha yang dibuat ini adalah merupakan satu peluang untuk Malaysia memajukan industri yang berasaskan kejuruteraan.

Katanya lagi, selain daripada memberikan lebih banyak peluang kepada industri tempatan mengeluarkan komponen bagi kegunaan saga, ia juga akan dapat menawarkan peluang pekerjaan selain dari meluaskan industri kejuruteraan tempatan.

Kereta Proton Saga yang akan dieksport ke United Kingdom ialah dalam dua bentuk model dan enam variasi (Sedan dan Sport Sedan). Kereta-kereta tersebut akan diubahsuai untuk mematuhi piawaian keselamatan dan kawalan gas buangan selain dari pemasangan tali keledar di bahagian belakang, reka bentuk lampu dan komponen `trim’ serta sistem kawalan enjen.

Perjanjian pada hari ini akan memberi laluan kepada Malaysia untuk meluaskan lagi perdagangan antarabangsanya. Di samping itu diharapkan program eksport Proton Saga ke United Kingdom yang menguntungkan ini, akan mendapat sokongan, kerjasama dan dedikasi semua pihak yang terlibat supaya kejayaan akan terhasil dengan jayanya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard