Pindaan Perlembagaan Negeri Terengganu Diluluskan

dewan_undangan_negeri_terengganu24 Mac 1959 – Pada hari ini dalam tahun 1959, Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu telah melangsungkan Persidangan dan telah meluluskan dengan sebulat suara pindaan kepada perlembagaan negeri untuk mengadakan cara-cara baru dalam pentadbiran negeri itu.

Menurut sistem yang baru dan bakal diperkenalkan itu, negeri Terengganu akan mempunyai sebuah Dewan Undangan Negeri yang kesemua sekali ahli-ahlinya dipilih oleh rakyat bukannya dengan lantikan seperti sebelum ini. Perlembagaan negeri yang dipinda ini akan berkuatkuasa pada 30 April 1959 apabila Majlis Mesyuarat Negeri yang ada sekarang yang diketuai oleh Menteri Besar Dato’ Haji Kamaruddin Idris dibubarkan.

Apabila Majlis Mesyuarat Negeri dibubarkan, sebuah kerajaan sementara akan dibentuk untuk menjalankan urusan pentadbiran negeri dari 30 April sehinggalah Dewan Undangan yang baru ditubuhkan. Dengan pembubaran majlis Mesyuarat Negeri itu juga membolehkan satu pilihanraya diadakan dan rakyat akan memilih wakil-wakil mereka sendiri dalam Dewan Undangan berdasarkan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan.

Sesungguhnya dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Negeri Terengganu pada hari ini dalam tahun 1959 telah membawa satu era baru dalam pentadbiran negeri tersebut iaitu memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negeri Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen