Pilihanraya Pertama Selepas Penubuhan Malaysia

25 April 1964 – Pada hari ini dalam tahun 1964, Parti Perikatan yang dipimpin oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra telah berjaya memenangi sebanyak 89 buah kerusi dari 104 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum 1964.Pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya umum yang pertama selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, serta pilihan raya umum yang kedua selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Pada kali ini, Parlimen dibubarkan pada 1 Mac 1964 dan tarikh penamaan calon diadakan pada 21 March 1964, manakala tarikh pembuangan undi ditetapkan pada 25 April 1964. Sebanyak 7 buah parti politik bertanding dalam pilihanraya kali ini, iaitu Parti Perikatan, Sosialis Front, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), Parti Progresif Rakyat (PPR), Parti Tindakan Rakyat (PETIR), Parti Demokratik Bersatu (UDP) dan Parti Negara.

Dalam pilihan raya umum ini, Parti Perikatan memenangi 89 kerusi dalam Dewan Rakyat, manakala pihak pembangkang yang terdiri daripada PAS memenangi 9 kerusi, Parti Progresif Rakyat 2 kerusi, Sosialis Front 2 kerusi, Parti Demokratik Bersatu 1 kerusi dan Parti Tindakan Rakyat 1 kerusi.

Sesungguhnya, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri.

Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan ‘First-Past-The-Post-System’. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen