H.I.D.S – Pilihanraya Persekutuan Yang Pertama

pilihanraya 195527 Julai 1955 – Pada hari ini dalam tahun 1955, Pilihanraya Persekutuan yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan dengan mempertandingkan sebanyak 52 buah kerusi. Parti-parti yang mengambil bahagian dalam pilihanraya ini ialah Parti Perikatan yang terdiri daripada parti UMNO, MCA dan MIC.

Parti Perikatan mempertaruhkan seramai 52 orang calon, bagi tiap-tiap kawasan pilihanraya. Manakala Parti Negara, dibawah pimpinan Datuk Onn pula telah mengemukakan seramai 33 orang calon. Diikuti dengan Parti Islam SeTanah Melayu (PAS) dengan 11 orang calon. Antara Parti-parti lain yang turut serta mengambil bahagian dalam pilihanraya ini ialah Parti Buruh, Parti Kemajuan Perak, Pertubuhan Kebangsaan Perak dan Pertubuhan Melayu.

Parti Perikatan telah berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Manakala, sebuah lagi kerusi telah dimenangi oleh PAS. Berikutan daripada itu Parti Perikatan telah berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan Tunku Abdul Rahman, selaku pemimpin Parti Perikatan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

Sesungguhnya, semangat kerjasama dan muhibbah dikalangan anggota Parti Perikatan telah menjadi teras kepada kejayaan yang diperolehi serta membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen