H.I.D.S. – Piagam Pembentukan Negeri-Negeri Selat

27 November 1826 – Pada hari ini dalam tahun 1826, melalui satu piagam yang dipanggil Charter of Incaporation, negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Singapura telah tadbirkan di bawah satu pentadbiran yang disebut sebagai Negeri-negeri Selat.

Pentadbiran Negeri-Negeri Selat diketuai oleh Gabenor dengan dibantu oleh sebuah majlis (council) dan sejumlah besar kakitangan awam. Pulau Pinang, Melaka dan Singapura masing-masing ditadbir oleh Resident Councillor selaku pembantu kepada Gabenor.

Pentadbiran Negeri-Negeri Selat mengamalkan polisi perdagangan bebas dan ini menyebabkan timbulnya masalah kewangan untuk menampung perbelanjaan pentadbiran kerana sebahagian besar sumber pendapatan negara hanya bergantung kepada cukai ke atas candu, judi dan arak. Akibatnya Kerajaan Inggeris di India terpaksa membantu menampung perbelanjaan pentadbiran Negeri-Negeri Selat tersebut.

Oleh itu dalam tahun 1830 Kerajaan Inggeris mengambil keputusan untuk menjadikan Negeri-Negeri Selat sebagai Residensi yang ditadbir oleh Kerajaan Inggeris di Bengal. Akibat dari pertubuhan taraf ini jawatan Gabenor telah diturunkan kepada jawatan Residen, manakala jumlah kakitangan awam telah dikurangkan untuk mengurangkan perbelanjaan pentadbiran. Walau bagaimanapun jawatan Gabenor diwujudkan semula dalam tahun 1832. Pada tahun ini juga pusat pentadbiran Negeri-Negeri Selat telah dipindahkan dari Pulau Pinang ke Singapura.

Pada tahun 1851, Negeri-Negeri Sleat ditadbirkan pula oleh Gabenor General di India. Dalam tahun 1858, pentadbirannya diubah pula di mana Negeri-Negeri Selat diletakkan di bawah pemerintahan Viceroy di Culcutta. Akhirnya dalam tahun 1867, Negeri-Negeri Selat dijadikan tanah jajahan British apabila pentadbirannya diambil alih oleh Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office) di London.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen