menara_condong-800px
Sejarah

Pertukaran Nama Teluk Mak Intan Kepada Teluk Anson

15 Mac 1882 – Pada tahun 1882, mesyuarat Dewan Negeri Perak telah menukar nama Teluk Mak Intan kepada Teluk Anson.

Residen Inggeris di Negeri Perak, Hugh Low telah mencadangkan kepada Dewan Negeri supaya nama teluk ini ditukarkan kepada Teluk Anson sebagai mengenangkan jasa Jeneral Archibald Anson, Pegawai Daerah Hilir Perak.

Terdapat dua cerita bagaimana Teluk di Kuala Sungai Perak ini mendapat nama Teluk Mak Intan.

Asal Usul Nama Teluk Mak Intan

Cerita pertama mengisahkan nama Teluk Mak Intan diambil daripada seorang janda yang mempunyai rupa paras yang cantik iaitu Mak Intan. Beliau merupakan seorang saudagar yang berasal dari Mandahiling, Sumatera.

Beliau ialah peneroka yang membuka Teluk Intan di sekitar awal abad ke-19. Pada waktu itu, kawasan yang diterokai oleh Mak Intan dikenali sebagai Pekan Mak Intan.

Bermula daripada itu ramai orang dari berketurunan Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan India-Bombay datang mendiami kawasan yang baru diterokai itu.

Kebanyakan daripada mereka ialah para petani dan para pedagang barangan tradisi seperti rempah ratus, kain, inggu, kacip, parang dan sebagainya.

Cerita yang kedua pula mengisahkan seorang gadis bernama Intan dari sebuah keluarga keturunan Sumatera yang berpengaruh. Bapanya berulang-alik dari Sumatera ke sini untuk berniaga kain batik.

Gadis ini mandi di tebing Sungai Perak bersama-sama rakan-rakannya. Cincin pemberian ibunya telah tenggelam dan lenyap di dalam lubuk Sungai Perak.

Maka apabila pedagang-pedagang bertanyakan nama teluk itu penduduk di situ akan mengatakan ‘Teluk Intan Hilang’. Singkatnya dipanggil Teluk Mak Intan sahaja.

Menara_Condong

Menara Jam Condong Teluk Intan

Dalam beberapa catatan lain pula tempat ini diberi nama yang berbeza-beza. Minit mesyuarat Dewan Negeri Perak pada tahun 1882 mencatatkan namanya sebagai Teluk Ma’ Hitam.

Residen Hugh Low pula memberi nama ‘Melintang’. Seorang penulis Melayu memanggil tempat ini sebagai ‘Teluk Mak Intan’.

Pada tahun 1880, enam tahun selepas campur tangan Inggeris di Negeri Perak, pusat pentadbiran Hilir Perak ialah di Durian Sebatang. Tetapi Jeneral Archibald Anson, Pegawai Daerah Hilir Perak mendapati Teluk Mak Intan lebih sesuai.

Beliau telah memindahkan pusat pentadbirannya ke situ. Beliau telah menyusun semula kedudukan dan pelan bandar Teluk Mak Intan.

Tetapi dengan adanya kesedaran untuk mewujudkan keperibadian sendiri maka pada 1 Januari 1982, setelah satu abad berlalu, Kerajaan Negeri Perak telah menggantikan nama Teluk Anson dengan nama Teluk Intan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard