H.I.D.S – Pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Yang Pertama

YDP Agong Malaysia pertama02 September 1957 – Pada hari ini dalam tahun 1957, DYMM Tuanku Sir Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah ditabalkan dengan rasminya sebagai Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Merdeka yang pertama. Pertabalan ini diiringi oleh tembakan meriam 21 das dan nobat. Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang itu berlangsung di Balairong Seri Istana Negara dan dihadiri oleh lebih 500 orang jemputan khas termasuk Raja-raja Melayu, Sultan Brunei, Gabenor-gabenor Melaka dan Pulau Pinang, Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet, tetamu-tetamu khas dari dalam dan luar termasuk Duke of Gloucester yang mewakili Baginda Queen.

Datuk Paduka Maharajalela kemudian membawa masuk sebuah Al-Quran, sebilah keris panjang Diraja, surat pengisytiharan dan surat sumpah untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Setelah menerima keris tersebut, baginda telah menghunus dan menciumnya sekali. Baginda kemudian membaca surat sumpah, setelah selesai Datuk Paduka Maharajalela pun menyeru ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali berturut-turut dan disambut oleh sekalian yang hadir. Seruan ini diiringi pula dengan permainan nobat tanda ‘raja bertabal’.

Setelah itu, surat pengisytiharan pertabalan Yang di-Pertuan Agong dibaca dan istiadat diakhiri dengan bacaan doa. Pelantikan Yang di-Pertuan Agong pertama pada hari ini dalam tahun 1957 sesungguhnya telah melambangkan kebesaran dan kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai ketua negara, bagi semua negara yang berdaulat dan merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen