H.I.D.S. – Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR) Kedua

Sidang Raja-Raja Melayu (DURBAR) Yang Pertama
Sidang Raja-Raja Melayu (DURBAR)

20 Julai 1903 – Pada hari ini dalam tahun 1903, Persidangan Raja-raja Melayu atau Durbar kedua telah diadakan di Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dihadiri oleh Sultan-sultan Melayu dan Pembesar-pembesar negeri. Antaranya Sultan Perak, Sultan Idris Mersid AI-Azam Shah; Sultan Selangor, Sultan Sulaiman Shah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad, Residen-residen British pula terdiri dari J.P. Rodger (Perak), H. Conway Belfield (Selangor), D.G. Campbell (Pahang) dan W. Egerton (N. Sembilan).

Persidangan kali kedua ini telah dirasmi dan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham. Beliau dibantu oleh Residen Jeneral, W.H. Treacher. Peruntukan sebanyak RM80,000 telah diluluskan untuk perbelanjaan persidangan ini. Perkara-perkara yang dibincangkan antara lain berhubung dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, pengambilan orang-orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan, peruntukan rumah-rumah dan balai-balai bagi Penghulu, perluasan dan penanaman padi dan kelapa di kalangan orang-orang Melayu, pelaburan tabung Negeri-negeri Melayu Bersekutu dalam Pembinaan Jalan Keretapi Johor dan sebagainya.

Persidangan Durbar kedua yang berlangsung selama empat hari ini telah memberi erti yang besar kepada Raja-raja Melayu. Ia bukan sahaja memberi kesempatan bersuara malah ia juga telah membuka peluang kepada Raja-raja Melayu memperjuangkan hak-hak mereka demi kepentingan orang-orang Melayu. Sultan Idris, Perak adalah yang paling banyak mengemukakan pendapat.

Baginda menentang usul Inggeris bagi menyatukan Negeri-negeri Melayu kerana ini akan mengakibatkan Sultan kehilangan kuasa mutlak dan berharap negeri-negeri ini dikekalkan sebagai entiti yang berasingan bagi menjamin kuasa Sultan-sultan Persidangan ini juga telah membuka jalan ke arah Penubuhan Majlis Persekutuan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen