Persidangan Malaya Merdeka Di London

18 Januari 1956 – Pada hari ini dalam tahun 1956, Persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah diadakan. Persidangan ini dinamakan Persidangan Malaya Merdeka.

Persidangan ini telah mengambil masa selama 3 minggu dan masalah-masalah yang dibincangkan ialah:-

  • Malaya akan merdeka dalam lingkungan ‘British Komanwel’,
  • Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri akan dipegang oleh menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu,
  • Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.

Rombongan menuntut kemerdekaan Malaya ini diketuai oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari Rakyat Malaya terdiri dari Dato’ Abdul Razak bin Hussein, Dr, Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S.Lee, Tuan T.H. Tan dan Bahaman Shamsudin. Wakil-wakil dari Raja-Raha Melayu pula terdiri dari Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato’ Mohd Seth.

Sesungguhnya persidangan Malaya Merdeka di London pada hari ini dalam tahun 1956 telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara yang gilang gemilang pada 31 hb. Ogos, 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen