H. I. D. S. – Persekutuan Tanah Melayu Ditawan Oleh Jepun

15 Februari 1942 – Pada hari ini dalam tahun 1942, Persekutuan Tanah Melayu telah berjaya ditawan oleh tentera Jepun di bawah pimpinan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Kejayaan yang dicapai adalah berikutan daripada penawanan Kolam Air di tengah-tengah Pulau Singapura.

Pegawai Pemerintah Inggeris iaitu Jeneral Percival telah menyerah diri kepada pihak Jepun tanpa syarat. Serangan yang telah dilancarkan oleh tentera Jepun ke atas Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 di Kota Bharu, Kelantan dan peperangan itu adalah serentak dengan negara-negara lain seperti Hawai, Hong Kong dan Filipina.

Kegagalan dalam perundingan di antara Jepun dan Amerika Syarikat di Washington pada tahun 1941 adalah merupakan punca yang membawa kepada tercetusnya peperangan. Wakil Kerajaan Jepun dalam perundingan itu ialah seorang Duta Khas iaitu Saburu Karusu.

Adalah ditafsirkan seramai 150 ribu orang tentera Jepun telah digunakan dalam serangan ke atas Tanah Melayu yang meliputi kira-kira lima ketumbukan dan dua pasukan kereta kebal serta Pasukan Kawalan Diraja iaitu angkatan perang Jepun di negeri China. Ini adalah satu angkatan perang yang cukup kuat dan besar mengikut perancangan yang diatur dengan teliti demi memperolehi kemenangan.

Antara sebab-sebab lain yang membawa kepada kejayaan tentera Jepun di Tanah Melayu ialah :-

  • Pihak Inggeris di Tanah Melayu tidak bersiap sedia dari segi ketenteraan untuk menghadapi peperangan. Di samping itu Angkatan Tentera Udara dan Laut Inggeris tidak dapat memberi perkhidmatan yang baik dibandingkan dengan Jepun yang menggunakan alat kelengkapan serta senjata yang lebih baik.
  • Tentera Jepun mempunyai semangat keperwiraan dan pengalaman yang luas dalam menghadapi kesukaran peperangan. Manakala pertahanan Inggeris pula adalah lemah disebabkan kekurangan pengalaman dan latihan terutama dalam peperangan di hutan rimba seperti di Tanah Melayu.
  • Pihak Jepun telah menyebarkan dakyah anti Inggeris kepada askar India di Tanah Melayu dalam perjuangan bangsanya merebut kemerdekaan di India. Kesannya tentera Jepun dapat mara tanpa halangan yang besar ke Tanah Melayu.

Dengan kejayaan tentera Jepun menawan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1942 maka berakhirlah kuasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu buat seketika. Langkah pertama yang diambil oleh Jepun setelah berkuasa ialah menyusun semula dasar pentadbiran negeri, diantaranya ialah melucut jawatan dan menahan kesemua Pegawai Pentadbir Inggeris atau menghantarnya ke Siam untuk bekerja membina jalan keretapi maut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen