H.I.D.S – Persatuan Melayu Perak Ditubuhkan

18 September 1937 – Pada hari ini dalam tahun 1937, Persatuan Melayu Perak yang merupakan salah satu daripada pertubuhan sosial yang pernah bergerak di Daerah Kinta telah ditubuhkan. Penubuhannya adalah hasil dari keputusan satu perjumpaan yang telah diadakan di Dewan Bandaran Ipoh. Seramai 104 orang telah menghadiri perjumpaan tersebut, kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan yang berpendidikan Inggeris.

Persatuan Melayu Perak ditubuhkan dengan tujuan untuk menggalakkan kerjasama antara ahli, meninggikan taraf pelajaran dan ekonomi, memberi peluang kepada ahli-ahli melahirkan taat setia kepada Great Britain, kerajaan dan raja serta bekerjasama dengan pihak Inggeris demi memajukan kepentingan orang Melayu. Jawatankuasa persatuan ini terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi, dua orang setiausaha dan 17 orang wakil dari tiap-tiap daerah.

Hampir semua ahli jawatankuasa yang dilantik mempunyai pelajaran Inggeris dan bekerja dengan kerajaan. Diantara mereka ialah Wan Mohd Nor bin Wan Nasir (pengerusi), Encik Ali (setiausaha) dan Encik Laidin (setiausaha penerangan). Keahlian Persatuan ini tidak dibuka kepada golongan atasan kerana persatuan ini tidak mahu menyentuh kehormatan dan kemuliaan mereka.

Ini telah menimbulkan kecurigaan Inggeris, sehingga pihak pendaftar telah meminta Yang Dipertua Persatuan memberi penjelasan. Berikutan dengan ini, keahlian Persatuan Melayu Perak telah dibuka kepada semua golongan. Dalam bulan Oktober 1938, Jawatankuasa baru telah disusun semula.

Percubaan Persatuan Melayu Perak untuk menyusun langkah-langkah kearah meninggikan ekonomi dan pelajaran orang Melayu itu dapat diertikan sebagai satu kesedaran awal terhadap kemunduran orang-orang Melayu. Persatuan ini bolehlah dianggap sebagai satu asas kearah perjuangan politik tetapi ianya tidak dapat bergerak kerana tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen